KATA ALU-ALUAN PENYELARAS KELAB




Assalamualaikum w.b.t dan Selamat sejahtera,

Perancangan merupakan intipati dalam pengurusan organisasi. Perancangan yang bersistematik dan strategik menjadi petunjuk arah utama kepada kejayaan dan kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan. Justeru itulah Kelab ComTech UMT 2014/2015 menghasilkan blog rasmi.

Blog rasmi ini merupakan satu paparan maklumat yang meliputi segala aspek pengurusan dan pentadbiran Kelab ComTech yang menggabungkan 2buah kursus terbesar bidang teknologi di UMT iaitu kursus Kejuruteraan Perisian dan Informatik Maritim.

Keseluruhan Blog rasmi ini mencakupi Organisasi Kelab Comtech 2014/2014, Profil Am Kelab, JawatanKuasa Majlis Tertinggi Kelab, Aktiviti Semasa,terkini dan lepas kelab, Muat turun nota pembelajaran dan pautan laman website pembelajaran, serta Galeri gambar aktiviti kelab.

Blog rasmi ini akan menjadi bahan rujukan kepada semua warga Comtech UMT bagi sesi 2014/2015. Akhirnya saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Exco Publisiti dan Multimedia yang terlibat dalam penyediaan dan penghasilan Blog rasmi Kelab Comtech bagi sesi 2014/2015 ini.

Sekian.Terima Kasih.
Puan Noor Azliza Che Mat
Penyelaras Kelab ComTech UMT 2014/2015





Sunday, January 12, 2014

Program The Power Of Shalat.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada hari khamis bertarikh 19 Disember 2013, Kelab Computer Technology(Comtech) telah bekerjasama dengan Badan-Badan Organisasi Pelajar Universiti Malaysia Terengganu atas anjuran Pusat Islam UMT mengadakan Program The Power Of Shalat bertempat di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu. Program ini telah diamanahkan kepada Siti Nor Hakimah Saidi sebagai pengarah program dan Khairul Hazri bin Mohamad sebagai timbalan pengarah program (Presiden Kelab Comtech 13/14) yang turut dibantu oleh Badan-Badan Organisasi Pelajar UMT sebagai ahli jawatankuasa.


Program ini melibatkan semua pelajar dan pensyarah Universiti Malaysia Terengganu(UMT). Program ini bermula seawal jam 6.30 petang dan berakhir tepat jam 11.00 malam. Tentatif program bermula dengan Solat Maghrib berjemaah, Solat Hajat berjemaah, bacaan Yaasin dan Solat Isya' berjemaah yang di'imam'kan oleh tetamu undangan iaitu Imam Muda Nazrul. Kemudian, program diteruskan lagi dengan ceramah oleh Imam Muda Nazrul dengan tajuk "The Power Of Shalat". Usai ceramah, sedikit makanan disediakan kepada pelajar yang turut hadir meng'imarah'kan program kami.





Matlamat mengadakan Solat Hajat Mega adalah bersempena Peperiksaan Akhir Semester yang bakal berlangsung serta memberi ruang kepada pelajar dan pensyarah untuk merelaksasikan minda dari kesibukan belajar dan bekerja. Lebih kurang seramai 800 orang pelajar yang hadir meng'imarah'kan majlis ilmu pada malam tersebut.



Syukur ke hadrat Ilahi kerana program ini berjalan dengan lancar. Pelajar dan pensyarah berpuas hati dengan ceramah yang disampaikan oleh IM Nazrul kerana banyak input yang dapat kami ambil daripada ceramah tersebut. Solat merupakan salah satu rukun islam yang merupakan kewajiban setiap muslim untuk menunaikannya. Solat merupakan masa untuk kita bertemu Allah dan merehatkan diri kita dari kesibukan dunia. Solat bukanlah hanya dilakukan ketika kita hendak menghadapi peperiksaan sahaja tetapi setiap hari kerana ia merupakan tuntutan daripada Allah s.w.t. kepada hamba-Nya yang beriman. Jom merasai indahnya solat!



Akhir kata, terima kasih kepada tetamu undangan, ahli jawatankuasa, pelajar-pelajar dan pensyarah-pensyarah UMT yang telah memberi sokongan sepenuhnya untuk menjayakan program ini. Sekian, terima kasih.